Friday, 23 September 2016

Semalam merupakan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kampus di UIAM atau dipanggil SRC General Election. Suasana meriah dan hangat mempromosikan calon-calon bertanding telah berlalu sepanjang dua hari. Walaupun bagi saya suasananya tidak semeriah tahun lepas, tapi cukup menarik untuk menggambarkan suasana demokrasi dalam memilih pemimpin dalam kalangan mahasiswa tetap subur. Melihat suasana ini, saya melihat ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi tentang mahasiswa dan politik.

Pilihan raya merupakan satu alternatif dalam memilih pemimpin untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sistem demokrasi yang dijalankan ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa antara yang terbaik untuk dipilih berdasarkan peribadi dan manifesto yang disampaikan.

Di UIA ini, calon-calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan manifesto-manifesto yang sangat menarik. Apa yang menarik, cara mereka mempromosikan diri mereka bukan sahaja melalui medium yang biasa, tapi mereka sama-sama duduk sebaris dalam satu program debat manifesto dalam memberi penerangan dan hujah masing-masing. Saya kira ini merupakan satu bentuk kematangan dalam politik.

POLITIK DALAM ISLAM

Dalam Islam, politik ini diajar dalam setiap sudut. Bagaimana seorang pemimpin itu bergaul dengan yang dibawahnya.  Bagaimana rakyat perlu menegur seorang pemimpin yang leka. Bagaimana amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin itu akan ditanya. Semuanya diajar dalam Islam melalui sunnah Rasul dan Kalam Allah (Quran). Begitu juga ia diajar melalui hikmah disebalik pensyariatan ibadah kepada Allah.


Pensyariatan solat jemaah bukan sahaja memberikan hikmah gandaan kebikan sebanyak 27 kali ganda, bahkan ia juga mengajar kita prinsip-prinsip utama dalam politik.


Pertama, ia mengajar kita tentang principle of election, cara kita memilih pemimpin. Untuk solat jemaah, untuk menentukan imam, ada kriteria-kriteria yang perlu diutamakan. Sebagai contoh, seseorang untuk dijadikan imam harus mempunyai akhlak yang baik, bacaan yang baik, ilmu yang baik. Begitu juga dalam menentukan pemimpin, perlu juga dilihat kepada kriteria-kriteria yang baik berdasarkan kepakaran, ilmu, akhlak, kepimpinan dan sebagainnya.


Yang Kedua, dalam solat, makmum sama sekali tidak boleh mendahului imam dan wajib mengikut imam dalam setiap pergerakan. Ini yang dinamakan principle of obedience. Orang yang dibawah wajib mengikut arahan pemimpin selagi mana ia tidak melanggar syariat. Dalam kepimpinan, ketua adalah orang bertanggungjawab memberi arahan dalam melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab, dan haruslah ia ditepati oleh orang yang dibawahnya.


Dalam solat juga, apabila Imam terlupa atau tersilap, makmum wajib menegur kesalahan tersebut dengan menyebut subhanallah. Begitu juga prinsip ketiga yang diajar melalui solat jemaah ini, iaitu principle of advices. Setiap ketua atau pemimpin yang tersilap wajib ditegur dan dinasihati. Namun, cara nasihat dan teguran itu hendaklah sesuai dan tepat. Sepertimana dalam solat, makmum tidak boleh sesuka hati menegur imam kecuali dengan menyebut subhanallah. Bermakna, menegur pemimpin juga hendaklah dengan cara dan nasihat yang baik.


Seterusnya keempat, ia mengajar principle of cooperation and ukhuwah. Makmum dalam solat jemaah mesti berada dalam satu saf yang lurus dan rapat. Oleh sebab itulah kebiasaannya imam akan perintahkan untuk rapatkan dan luruskan saf sebelum mula solat. Dalam kepimpinan dan politik, prinsip kerjasama antara ahli dan ukhuwah antara sesama mereka ini sangat diperlukan dalam melaksanakan sesuatu tugas.


Ada beberapa lagi prinsip lain sebenarnya yang ditekankan oleh Islam diajar melalui solat jemaah ini. Namun, prinsip utama diatas merupakan basic atau asas yang sangat penting dalam menjamin gerak kerja yang berkesan. Justeru, dalam kita berpolitik ataupun berada dalam mana-mana organisasi, kita perlu meletakkan hikmah agama itu lebih tinggi. 


PERLU ATAU TIDAK MAHASISWA TERLIBAT DALAM POLITIK?


Persoalan ini sering diajukan kepada mahasiswa. Perlu atau tidak? Pendapat saya, perlu. Terlibat maksudnya bukanlah sama-sama berkempen untuk pilihan raya sesuatu parti atau bertindak dalam mana-mana demonstrasi. Tetapi terlibat yang saya maksudkan adalah mengambil tahu dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara kita. Ini Mahasiswa wajib ambil tahu.


Kenapa? Kerana mahasiswa yang ada inilah harapan negara dan bakal menjadi pemimpin rakyat. Justeru segala yang berlaku perlu diperjelaskan kepada mereka ini.


Platform Pilihan Raya Kampus (PRK) ini sangat sesuai bagi memberi gambaran dan pengalaman kepada mahasiswa untuk lebih matang dalam politik. Ini kerana mereka berpeluang melakukan yang terbaik dan membawa suara mahasiwa ke peringkat lebih tinggi dan mahasiwa sendiri yang memilih mereka secara demokratik dan legitimasi itu diberikan kepada mereka untuk memimpin mahasiswa.


Akhir kata, saya mengharapkan mereka yang dipilih ini mampu berkhidmat seikhlas dan sedaya mungkin. Ini bukanlah satu medium untuk mempromosikan nama atau menjadi glamor. Tetapi ini adalah platform untuk anda berkhidmat , mencurahkan bakti kepada mahasiswa dan menunjukkan yang terbaik bahawa kita mampu untuk memimpin negara dengan lebih baik.



Debat Manifesto calon-calon PRK UIAM bagi kuliyyah HS
Penerangan manifesto calon-calon bertanding


Kempen oleh calon yang bertanding

Posted on Friday, September 23, 2016 by mohd Syarizwan

4 comments

Wednesday, 14 September 2016

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan segala nikmat dan kekuatan kepada diri ini.
Ada sesuatu untuk dikongsikan. Sebuah pengalaman dalam mematangkan kehidupan di dunia fana.

DISCOVERING THE EXCITEMENT OF QURBAN (DISTEXQ)

Sejak dulu, hati aku sangat menginginkan untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Oleh kerana itulah aku masuk dalam lapangan Sains Politik supaya aku dapat belajar bagaimana teori dalam memberi khidmat kepada masyarakat secara dekat melalui pentadbiran.

Aku bukan seorang yang ingin berjawatan atau aktif dalam mana-mana persatuan. Tapi cukuplah ada platform untuk aku belajar dan dapat menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat. Bila melihat sebahagian sahabat aktif memberi khidmat mereka untuk berdakwah dan membangunkan orang asli, aku tertarik dan ingin mencuba. Daripada situlah aku bersama-sama mengikuti program COMRADE.

Program kali ni bersempena raya Korban. Misi untuk memahamkan orang-orang asli ini tentang ibadah korban dan merasai pengalaman merayakan hari besar tersebut bersama-sama orang asli di KG Susu, Cameron Highland. Sebenarnya, perkampungan orang Asli di KG Susu ni dah moden selepas mereka berpindah 2 tahun lepas dari kampung lama.

Apa yang aku ingin kongsikan adalah pengajaran dan pengalaman daripada misi kami ini. Aku cukup terharu sebenarnya dapat bersama-sama sahabat-sahabat yang hebat dalam kerja dakwah dan sukarela. Mereka tidak pernah gentar untuk menerima cabaran. Cukup positif dan sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Apa yang dapat aku belajar daripada mereka adalah kerjasama antara kami. Walaupun antara kami baru kenal sehari, tapi boleh dikatakan bonding dan ukhuwah yang dijalinkan sangat rapat. Kami dapat bekerja dalam kumpulan masing-masing dan boleh lihat setiap orang menjalankan tugas mereka dengan penuh komited. #FunctionTerok semuanya. Bukan tu je, yang lebih terharu, tidak pernah mengeluh untuk sama-sama siapkan kerja team lain. #power Sebab itu aku suka sangat bekerja dengan mereka. Tak kisah mereka daripada jawatan apa pun, tetap duduk sama-sama masak, kemas barang, potong daging, dan lain-lain. Sampai ada yang sanggup tidur luar, yang tak tidur pun ada.

Orang Kampung pulak sangat meriah menyambut kami anak-anak uia.  Bila slot ziarah ke rumah keluarga angkat, mereka layan je perangai anak-anak uia ni. Ada yang bagi durian, rambutan, ada yang masak untuk kami, bercerita tentang kisah mereka. Semuanya menarik. Mereka cukup sporting dan supportive. Amek angkat aku dan anak-anaknya pun sama. Sebelum balik ke uia pun, sanggup lagi masakkan untuk kami.

Walaupun kehidupan mereka tak cukup mewah seperti kita, hubungan mereka antara ahli keluarga, jiran-jiran cukup rapat. Yang muda pun boleh duduk main bersama dengan yang tua-tua. Sesama adik beradik mereka pun rapat.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat atas memori yang cukup bermakna. Sungguh hatiku tertinggal disana. Semoga diberi kesempatan dan kekuatan lagi untuk bersama.


#WeObserve #WeExperience #WeLendAHand


















Posted on Wednesday, September 14, 2016 by mohd Syarizwan

4 comments

Wednesday, 31 August 2016

31 OGOS merupakan tarikh keramat yang membuka satu lembaran baru buat sejarah tanah air. Ia tercatat sebagai salah satu detik terindah dan detik yang amat bersejarah bagi seluruh rakyat Tanah Melayu. 

59 tahun bukanlah satu jangka yang pendek, bahkan sepanjang perjalanan merentasi angka ke-59 tahun itu, pastinya pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pemimpin dan pejuang-pejuang tanah air demi mendaulatkan tanah air ini. Namun apa yang ada pada hari ini dapatkah kita kekalkan dan dapatkah kita pastikan generasi seterusnya menjaga kedaulatan ini?

31 Ogos bukanlah sekadar sambutan sahaja. Tarikh ini adalah kebanggaan dan semangat yang membawa kepada kebersatuan setiap rakyat di tanah Malaysia ini. Kemerdekaan bukanlah untuk kita sorakkan kegembiraan sahaja. Ia juga bukanlah untuk kita laungkan Merdeka Merdeka Merdeka tanpa mengerti erti sebenar merdeka itu.

Sejauh mana generasi ini jadikan 31 Ogos ini sebagai detik penghargaan apa yang telah kita nikmati hari ini? Sambutan kemerdekaan menjadi pesta anak muda untuk berhibur, melempiaskan nafsu. Adakah itu yang diertikan kemerdekaan bagi mereka?

Nikmat merdeka, keamanan, kesejahteraan dan pembangunan pesat tanah air kita ini merupakan satu anugerah oleh Allah dan pastinya ia juga boleh ditarik bila-bila masa sahaja. Tugas menjaga dan memelihara kemerdekaan ini pasti bukan mudah tetapi apa juga terjadi, kita harus menjaganya.

Namun alangkah sedihnya jika sejarah tanah air sendiri pun kita lupa, nilai kebanggaan tanah air juga kita perlekehkan. Sempena kemerdekaan Malaysia ke 59 ini, kita harus ubah persepsi dan minda kita sejajar pebangunan negara kita. Minda kita belum merdeka sepenuhnya...






#SalamSehatiSejiwa
#MalaysiaTanahTumpahDarahku
#SalamKemerdekaan59
#ILuvMalaysia

Posted on Wednesday, August 31, 2016 by mohd Syarizwan

No comments

Tuesday, 23 February 2016

Medium maklumat yang ada pada hari ini bukan lagi seperti dulu. Hari ini semua orang boleh mendapatkan maklumat dengan mudah. Bukan seperti dulu, hanya bergantung kepada medium akhbar dan warta berita. sekarang, akhbar terdapat dalam versi online, mudah dibaca, dan boleh diakses dimana-mana dan pada bila-bila masa. Ditambah lagi dengan medium media sosial seperti Facebook, Twitter,Whatsapp dan sebagainya. Setiap apa yang menarik pasti akan ada yang update dan memuat naik post tersebut di medium-medium tersebut.

Namun, kemudahan ini sebenarnya menimbulkan satu perkara negatif yang sukar untuk diatasi. Medium-medium yang digunakan ini membawa suatu kekeliruan kepada masyarakat kerana terlalu banyaknya maklumat yang diperoleh. Persoalan yang timbul dari isu ini, bagaimana cara kita menerima maklumat-maklumat ini. Ada antara kita yang apabila terima sahaja apa-apa maklumat, terus disebarkan tanpa membacanya. Ada juga yang apabila diterima, mereka terus mempercayainya dan keluarlah pelbagai teori konspirasi yang dianalisisnya. 
  
Adakah perkara ini perkara yang remeh? Sebenarnya ini satu yang serius. Maklumat-maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber ini membawa kepada satu kekeliruan dan boleh mengundang fitnah. Oleh sebab itu perlunya kita bersikap tabayyun.

Apa makna Tabayyun ini dan mengapa pentingnya bersikap seperti ini? Tabayyun adalah perbuatan menyiasat, menyelidik, dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat yang diterima daripada sumber yang belum pasti betul sebelum kita mengambil tindakan samaada untuk menerima maklumat tersebut atau menyebarkannya. Ia penting dan bertepatan dengan Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Ramai antara kita hari ini terlalu obses untuk menjadi pembawa berita tanpa menyelidik fakta dan kesahihannya. Ini yang menyebabkan berlaku banyaknya fitnah di laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya. Tabayyun ini sebenarnya menjadikan kita masyarakat yang matang. Tidak gelabah atau marah ketika menerima sesuatu maklumat.

Kadang-kadang yang menyebarkan berita-berita palsu ini mereka sendiri juga tidak faham dan tidak tahu isu sebenar. Cuma disebabkan ghairah mendapat berita yang panas dan mungkin akan mendapat perhatian, mereka terjerumus dalam masalah CPS (copy, paste dan share). Ada juga yang bersikap playsafe dengan menyebarkannya kemudian meletakkan caption "Copy & Paste dari Group Whatsapp sebelah". Adakah dengan meletakkan caption sebegitu maka ia dianggap membenarkan perbuatan tersebut? Apakah caption tersebut adalah satu autoriti untuk anda menyebarkannya?

Tabayyun ini mengajar kita untuk lebih rasional dan professional dalam menerima maklumat. Bukan sekadar terima dan share walaupun ia daripada sahabat baik kita. Pastikan sumber yang diperoleh itu adalah tepat dan dipercayai sebelum menyebarkannya kepada orang lain, takut-takut ia adalah satu fitnah dan kita termasuk dari golongan yang menyebarkan fitnah. Fitnah dan berita palsu ini banyak kesannya kepada masyarakat dan negara. 

Jadi, bertabayyun lah apabila menerima sesuatu maklumat. Jadilah masyarakat yang matang, bukan mengikut nafsu dan telunjuk syaitan.




Posted on Tuesday, February 23, 2016 by mohd Syarizwan

1 comment

Friday, 6 November 2015

Ramai yang masih keliru berkenaan dengan bidaah dalam ibadah dan juga bidaah dalam perkara umum (duniawi). Hari ini ternyata timbul isu-isu yang melibatkan kedua-dua ini yang mengundang khilaf para ulama dalam menyatakan pandangan mereka terhadap isu-isu tersebut. Yang terbaru adalah berkenaan dengan isu berzikir sambil menari walaupun sebenarnya isu ini telah lama dipedebatkan.

Untuk meletakkan hukum pada isu tersebut bukanlah dalam bidang kuasa saya. Namun dalam isu ini saya lebih kecewa membaca komen-komen para pengguna media sosial yang menghentam para agamawan termasuk mufti dan ahli akademik yang lain. Tidak kurang juga da yang melabelkan mereka ini Syiah, Wahabbi, sesat, dan sebagainya. Ini sebenarnya boleh menimbulkan perpecahan dan persespsi negatif kepada golongan agamawan ini kerana hanya perbezaan pendapat.

Sebahagian pendapat yang menyatakan hukum ini haram kerana tiada dalil yang membenarkan ibadah itu dilakukan. Itu adalah betul. Dalam ibadah, setiapa perkara yang ingin dilakukan memerlukan dalil dalam membenarkanya. Berbeza dengan perkara umum yang lain seperti makanan, teknologi dan sebagainya.

Saya menulis ini kerana ada yang berhujah menyatakan mereka yang mengharamkan ibadah sebegini sesat. mereka membalas hujah dengan bertanya "kenapa naik kereta? sedangkan ia tidak ada zaman Rasululllah. jadi, adakah menaiki kerata haram kerana tidak terdapat dalil berkenaannya??" 

Baik, perkara ibadah dan umum seperti penggunaan kereta ini adalah dua hal yang berbeza dan tidak boleh dibandingkan. dalam melakukan ibadah (perkara agama), perlu ada dalil berkenaannya. Tetapi, dalam perkara umum, ia dibolehkan dan dihalalkan selagi mana tidak ada dalil mengharamkannya.


لاصل في العباده بطلان حتي يقوم الدليل علي الامر
"Asal hukum sesuatu perkara ibadah itu adalah haram/tidak sah, kecuali ada dalil yang memerintahkan."

Berkenaan dengan menaiki kereta atau seumpamanya, memang ia tidak ada pada zaman Rasulullah. tetapi ia dibenarkana kerana ia tergolong dalam kategori Maslahah Mursalah. 

الأصل فى الاشيأ الاباحة, حتى يدل الدليل على التحريم
"asal hukum perkara umum itu adalah harus, kecuali ada dalil yang mengaharamkannya"


Ini lah dua konsep yang berbeza yang perlu kita faham. Sebagai contoh, makan keropok lekor disalut cheese dan coklat kemudian digoreng bersama tepung. Itu dibenarkan. Apa pun resepi yang nak ditambah, silakan. tidak ada dalil yang mengharamkannya. Begitu juga dengan rambutan, durian, laksa, semuanya tidak ada dalil berkenaannya. Adakah boleh makan? ya boleh, kerana hukum asalnya harus.

Tetapi dalam ibadah lain. Seorang yang terlalu zuhud, ingin melakukan solat subuh 4 rakaat. Adakah boleh? Tidak kerana tidak ada dalil yang memerintahkan sebegitu.

Jadi dalam konteks isu yang disebutkan diatas, setiap ulama dan agamawan ada hujah mereka. Cuma orang awam yag tidak faham akan isu ini menjadikan isu ini rumit dan mengelirukan.

Apa-pun cubalah kita berlapang dada dan mengelakkan permusuhan. Bagi mereka yang kata boleh, ada hujahnya. Bagi mereka yang kata haram, ada juga pendapatnya. Jika kita rasa apa yang disampaikan oleh orang lain salah, maka perbetulkan lah dengan cara baik, bukan dengan mengeluarkan kata-kata kesat atau melabel dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Yang penting bagi kita, cuba cari sebanyak mungkin ilmu, dan fahamkan. Berguru dengan mereka yang benar-benar arif dan beradablah dengan ilmu tersebut. Jangan angkuh dan takabur. Sekian Wallaua'lam...


Posted on Friday, November 06, 2015 by mohd Syarizwan

7 comments

Sunday, 1 November 2015


Xx: Jom malam ni futsal.
Zz: bereh jah kawe.. Pukul berapa?
Xx: macam biasa, pukul 10..

Pukul 10.30 barulah Xx, Yy dan yang lain tiba. 

Xx: macam tak boleh main je malam ni.. Court penuh ni..  Nak tunggu lama lagi lar..
Zz: yang main semua cina.. Haishh.. Kan dah tahu biasa memang kita nak main pukul 10.. Takkan tak reti nak blah...


Ni perbualan biasa.  Tidak ada kena mengena antara yang hidup atau yang mati. Namun cuba kita fikir apa yang tersirat dari situasi diatas.

Sebenarnya, situasi sebegini biasa. Boleh dikatakan inilah yang sentiasa berlaku. JANJI MELAYU. 

Saya pun tak pasti mengapa boleh istilah tersebut diberikan. Nak kata memang perangai melayu ni sentiasa lambat,  tak juga. Ada yang boleh tepati masa untuk awal. Nak kata bukan melayu asyik awal, tak juga, ada juga mereka lambat. Sebenarnya ini masalah individu. Tapi majoriti individu melayu yang telah menjadikan masalah ini di'generalize'kan.

Memang ini sentiasa berlaku dalam menganjurkan program atau apa-apa event. Jika tentatifnya bermula pukul 8, maka, hadirin akan tiba biasanya lebih dari pukul 8. Walhal sudah dimaklumkan bahawa majlis bermula pukul 8, bukan bertolak untuk datang pukul 8.

Situasi diatas saya berikan sebagai contoh. Sepatutnya permainan boleh mula 10.15. Tapi 10.30 belum tentu boleh mula sebab masih ramai yang beljm ada. Apabila tempat yang dipilih diambil orang, kita marah. Kita salahkan pula mereka kerana kacau tempat kita. Padahal, kita yang lewat.

Ini yang perlu kita muhasabah, dan untuk kita ubah. Ya, bermula dari diri sendiri, kerana ini masalah diri, bukan masalah bangsa. Mengapa kita tidak boleh tepati waktu? Jika sekali sekala, mungkin ia dimaafkan. Akan tetapi, jika ia dijadikan sebagai satu sikap, bermakna peribadi kita bermasalah. 
Ingat kembali bagaimana Allah bersumpah demi masa

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada didalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta mereka yang berpesan kepada kebenaran dan mereka berpesan dengan kesabaran" (surah al-asr: 1-3)

Melayu tak salah. Individu yang perlu disalahkan. Jangan sampai kerana kita yang tak reti tepati masa, tak reti tepati janji, nama bangsa, agama yang tercemar.




Ayuh kawan-kawan, muhasabah dan ubah..!



Posted on Sunday, November 01, 2015 by mohd Syarizwan

3 comments

Tuesday, 20 October 2015



Saya berkesempatan untuk menghadiri persidangan hari pertama Sidang Dewan Rakyat bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13. Seperti biasa, disana lah para Menteri dan ahli-ahli Parlimen yang lain membahaskan usul dan membincangkan perihal negara. 

Semalam merupakan hari pertama persidangan. Namun, seperti biasa Ahli Parlimen (MP) dari kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul-usul sebelum sesuatu perundangan itu diluluskan oleh Parlimen. Saya sebagai pemerhati, melihat isi perbahasan dan juga tahap profesionaliti ahli dewan ketika berbahas.


Secara peribadi, saya merasakan sesetengah ahli Parlimen kita masih di tahap profesionaliti yang rendah ketika berbahas. Tidak kira dari pembangkang, dan juga kerajaan. Walaupun persidangan masuk hari pertama, dua orang ahli dewan diarah keluar oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Walaupun ada yang berpendapat itu adalah perkara biasa, namun bagi saya ia menunjukkan bahawa mereka tidak profesional. Sepatutnya mereka sebagai wakil rakyat, pemimpin masyarakat mereka perlu menunjukkan contoh yang baik.

Jadi, saya berfikir, sejauh mana mereka mengutamakan agenda rakyat jika dalam dewan rakyat asyik bertikam lidah dan memerli ahli parlimen yang lain? Bagi saya ia memalukan. Apatah lagi jika mereka tidak boleh menghormati Speaker Dewan selaku pengerusi mensyuarat. Jadi bagaimana rakyat mahu menghormati mereka? 

Namun antara mereka, masih ada yang saya begitu hormati dan kagum kerana kredibiliti dan karakter mereka. Sebahagian dari kerajaan dan sebahagiannya dari pembangkang. Bagi saya mereka masih profesional dan mempunyai nilai yang baik untuk dicontohi, cuma segilintir yang lain bersikap tidak profesional, nama yang baik juga tercalit sama. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Apa pun kita berharap agenda rakyat terus diutamakan disamping meningkatkan usaha untuk mendidik generasi muda untuk lebih profesional.


*MP = Member of Parliament, digunakan untuk merujuk kepada ahli Parlimen




bergambar bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Datuk Ronald Kiandee
dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Nur Jazlan












 info parlimen:



Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan. Seperti Demokrasi Berparlimen mengandungi 3 cabang utama

  •                    Perundangan (Legislative)
  •                    Eksekutif (Executive)
  •                    Kehakiman (Judiciary)



Parlimen di Malaysia terbahagi kepada dua;-
  •           Dewan Rakyat (house of representative)
  •           Dewan Negara (the senate)



Fungsi Parlimen:
  •           Meluluskan undang-undang
  •           Membuat pindaan undang-undang yang sedia ada
  •           Meluluskan cuka-cukai baru
  •           Menyemak dasar-dasar kerajaan
  •           Meluluskan perbelanjaan kerajaan



Posted on Tuesday, October 20, 2015 by mohd Syarizwan

4 comments

Wednesday, 14 October 2015

Tanpa kita sedar, zaman sekarang memang banyak berubah. Pembangunan semakin maju. Teknologi pula semakin luas. Semua kerja lebih mudah dengan teknologi. Jika dulu, telefon hanya untuk berhubung melalui panggilan dan pesanan ringkas (SMS). Sekarang, pelbagai aplikasi boleh didownload secara percuma. Memudahkan kita berhubung. Lebih pantas dan cepat. Macam-macam aplikasi tersedia, untuk berhubung, untuk mendapatkan maklumat, games, cuaca, waktu solat, kiblat, semua ada. 

Namun, kita harus akui teknologi yang berkembang ini sebenarnya mempunyai baik buruknya. Perkara yang baik boleh jadi buruk jika ia digunakan untuk tujuan yang salah atau digunakan secara salah. Kesannya besar. Secara mudahnya, teknologi juga membuatkan kita terancam dari sudut keselamatan dan juga moral.

Apa yang dimaksudkan dengan generasi tunduk? Sebenarnya saya gunakan istilah ini untuk merujuk kepada zaman sekarang yang rata-rata pengguna smartphone tidak dapat lari dari gadjet mereka. Tidak kira tempat, masa, umur, sentiasa memegang smartphone mereka. Itu yang membuatkan mereka tunduk khusyuk bermain dengan gadjet yang dipenuhi pelbagai bentuk teknologi. 

Cuba kita fikir kembali kehidupan ketika dulu tanpa teknologi. Terlalu banyak pengalaman kanak-kanak yang kita lakukan bersama kawan-kawan. Masih ingat? Semua itu mengajar kita erti hidup. Tapi berbeza dengan kanak-kanak hari ini. Mereka lebih banyak membesar dengan gadjet. Bahkan seawal umur 5 tahun sudah pandai menggunakan tablet. Tidak boleh salahkan sesiapa. Kita juga harus faham situasi zaman hari ini. Kes kanak-kanak hilang, culik yang berleluasa menyebabkan ibu bapa tidak mahu anak bermain diluar. Oleh sebab itu kanak-kanak hari ini lebih banyak dirumah bersama gadjet.

Namun, ibu bapa juga harus peka dan pandai mengawasi anak-anak. Jangan sampai mereka terlalu leka dan lalai. Terutama bagi mereka yang masih bersekolah rendah dan mempunyai telefon pintar. Ramai antara mereka hari ini sudah mempunyai akaun Facebook, Twitter, Instgram, Wechat dan sebagainya. Terlalu banyak perkara yang tidak sesuai dengan umur mereka terdapat dalam aplikasi-aplikasi tersebut. Jangan kita ambil mudah, kerana kesannya besar. 

Di Facebook hari ini ramai kanak-kanak yang dah pandai mencari pasangan untuk bermanja. Begitu juga di Wechat dan aplikasi laman sosial lain. Sampai dah ada yang mengambil gambar bersama dengan caption yang manja-manja. Parah budak-budak sekarang.

Justeru rakan-rakan, kita perlu menjadi contoh yang baik. Gunakan teknologi sebaiknya. Jika tidak, mungkin satu hari ia boleh memakan kita. Zaman sekarang merupakan zaman yang mencabar. Jika dulu kita berumur 12 tahun masih lagi tak tahu apa-apa, tapi kini, 12 tahun semua benda dah tahu, keluar melepak sehingga tengah malam pun mereka tak kisah.




Anda masih ingat semua ni?? Pasti menggamit kenangan zaman kanak-kanak kita...







Posted on Wednesday, October 14, 2015 by mohd Syarizwan

7 comments

Thursday, 24 September 2015



Aidiladha di UIAM


أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ

أكْبَرُ ﭐللهُ وَ , ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ

ﭐلْحَمْدُ وَللهِ أكْبَرُ ﭐللهُ

Allah maha besar (3X)


Tiada Tuhan selain Allah, Allah maha besar

Allah maha besar dan segala puji bagi Allah


Salam AidilAdha untuk semua. Alhamdulillah syukur kerana masih lagi berkesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban kali ini.. Tahun depan? Wallahua’lam...

Raya kali ni rasanya lain dari tahun sebelum-sebelumnya. Ini kali pertama saya menyambut Raya Korban tanpa keluarga disisi. Selama 20 tahun menyambut raya di Terengganu bersama keluarga, kali ini terpaksa berhari raya di UIA bersama kawan-kawan.

suasana program korban di UIA
(sebanyak 60 ekor lembu dikorbankan)
Namun, raya kali ini perasaannya lain. Biasanya Aidiladha ini dikaitkan dengan pengorbanan. Pada saat inilah umat Islam menumpukan kepada ibadah Haji di Mekah dan juga Ibadah Korban dalam memperingati peristiwan besar pengorbanan antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.


Ibrah AidilAdha bukan sekadar pengorbanan
Aidiladha bukan sekadar pengorbanan. Pengajaran dari dua ibadah besar yang berlaku pada waktu itu terlalu banyak. Salah satunya ialah perpaduan antara ummah. Saya terkesan pada pengajaran ini untuk raya kali ini. Suasana raya di UIA sebenarnya lebih meriah dari dikampung. Disini saya melihat bagaimana perpaduan ummah itu direalisasikan dalam satu suasana yang mungkin tidak dapat kita lihat di kampung sendiri.

UIA merupakan salah satu universiti yang menempatkan pelajar-pelajar dari luar negara termasuk Mesir, Iraq, Palestin, Sudan, Turki, Jordan, China, Myammar, Indonesia, dan sebagainya. Boleh dikatakan terdapat pelajar-pelajar Islam dari seluruh pelusuk dunia ada disini. Jadi, kami dapat merasai bagaimana Islam itu tersebar ke seluruh dunia.

Namun, raya kali ini merupakan satu suasana baru bagi saya. Selesai solat sunat Aidiladha, saya melihat mereka ini saling bersalaman, berpelukan sambil berbalas ucapan ‘Eid Mubarak’. Ada yang bergambar beramai-ramai. Apa yang cantiknya, mereka tidak mengira warna kulit dan latar belakang. Yang ada hanyalah mereka sebagai saudara seIslam.

Jika kita fikir kembali, inilah yang sepatutnya dan perlu kita teruskan. Begitulah juga pengajaran kepada ibadah haji yang dilakukan. Kita lihat bagaimana umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Mekah dengan pakaian yang sama warna tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.

suasana lepas khutbah
Sungguh raya kali ini mungkin menambahkan satu lagi pengalaman bermakna dalam hidup. Walaupun khutbah yang disampaikan dalam bahasa Arab, keseluruhannya saya tidak berapa faham, tapi khatib ada menyebut apa yang berlaku di Palestin terutamanya tentang Masjid al-Aqsa yang diserang oleh Zionis laknatullah. Masjid al-Aqsa merupakan salah satu tempat yang mulia, juga merupakan kiblat pertama umat Islam. Namun tempat suci itu terus diserang, umat Islam pula terus leka. Oleh sebab itulah perlunya perpaduan yang utuh dalam kalangan umat Islam hari ini.
  
Semoga kita semua terus menghayati ibrah AidilAdha ini. Yang menjalani ibadah korban semoga Allah menerima segala ibadah kita. Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha. .






selepas selesai Solat Sunat Aidiladha bersama kawan-kawan. 
Hanya sekerat sahaja melayu yang tinggal, yang lain semua pelajar luar.
Macam kami pulak yang jadi foreigner.



Posted on Thursday, September 24, 2015 by mohd Syarizwan

16 comments