2 Mac 2013 / 19 Rabi'ul akhir 1434

Bismillahirahmanirrahim..
Segala puji dan syukur dirakamkan kehadrat Allah S.W.T dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga kepada sahabat-sahabat baginda.  Alhamdulillah kerana diberi peluang untuk menulis sesuatu untuk kita diskusikan.

Perlukah isu-isu sensitif?

Kadang kala saya terfikir adakah pertikaian mengenai sesuatu isu di Malaysia itu membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Sebagai contoh, isu keagamaan yang timbul pada akhir-akhir ini membawa banyak spekulasi yang kurang menyenangkan sama ada dalam kalangan mahasiswa, parti-parti politik, mahupun pemimpin-pemimpin negara. Hal ini masih timbul walaupun telah lama diselesaikan.

Adakah itu hanya permainan politik atau sebaliknya? Persoalan itu sering timbul terutamanya bagi pihak media yang inginkan sesuatu yang hangat untuk dijadikan bahan siaran. Akan tetapi, masalah yang timbul ialah kekeliruan dalam kalangan rakyat untuk menerima cerita-cerita tersebut.

Jangan fanatik secara buta

Siapa di pihak benar atau salah hanya Allah yang dapat menilainya secara menyeluruh. Namun apa yang menyedihkan, sebahagian perkara yang timbul hanyalah perlakuan segelintir ahli yang fanatik dalam berpolitik tanpa menggunakan cara yang betul. Mereka seolah-olah menerima apa yang didengar disebelah pihak sahaja tanpa meneliti adakah hal tersebut wajar.

Imam Malik berkata : “aku juga manusia biasa dan boleh betul, boleh salah. Periksalah pendapat-pendapatku. Jika sesuai dengan al-Quran, atau sunnah, maka terimalah. Jika sebaliknya, tinggalkanlah.”


Pengikut yang fanatik inilah yang menyebabkan kadang-kadang keadaan yang pada mulanya kelihatan jernih tapi dicemari dengan keganasan hanya  kerana mahu pihak lain menerima pandangan pihak mereka walaupun kewajaran pada hal tersebut samar.

Kita tidak boleh memaksa atau berkeras untuk menerima pendapat kita tanpa mendengar pendapat orang lain. Adakah salah untuk menjadi fanatik dalam sesuatu? Mungkin ianya tidak salah, namun jika terlalu fanatik, dan fanatik secara buta ini mungkin akan menimbulkan sesuatu yang kurang elok.

Perbezaan pendapat antara manusia.

Setiap manusia itu tidak sempurna dan ada kalanya mereka tersilap atau terlepas pandang akan hal sesuatu. Hal ini akan menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat.  Pebezaan pendapat ini amat mustahil untuk kita hapuskan kerana ia tetap akan timbul. Bahkan perbezaan ini tidak perlu dihapuskan tetapi ianya perlu diuruskan dengan betul. Tetapi yang menjadi persoalannya, bagaimanakah?

Sebagai seorang yang matang, kita perlu menilai dan meneliti sesuatu secara rasional sebelum menerimanya. Pendapat yang jelas keliru dengan al-Quran dan Hadis, perlulah kita elakkan dan bukalah sesi perbincangan secara rasional bukan dengan cara membuka gelanggang pergaduhan yang boleh menjadi perpecahan antara umat.

Elakkan perkara yang jelas keliru dalam argumentasi

Pendapat-pendapat yang jelas keliru dikenali sebagai syadz atau Zallah (ketergelinciran) ulama. Ulama juga seorang manusia walaupun gelarannya ulama. Tetap ada kesilapan dalam sesuatu walaupun kecil. Secara rasional kita tidak boleh menghukum mereka. Kekeliruan yang timbul tanpa sedar itu wajar jika terjadi. Jadi kita haruslah matang dalam menilai sesuatu perkara dengan meneliti dengan jelas dan tidak memecah belahkan umat.

“Setiap perkara yang didalamnya ada Hadis Rasulullah, menurut ahli hadis, yang berbeza dengan pendapatku, akan aku tarik balik. Sama ada masa hidupku, ataupun setelah aku mati.”

-Imam as-Syafie -


Konklusinya , elok kiranya kita membuka dialog secara sihat tanpa cacian dan saling memahami bagi menyelesaikan sesuatu kekeliruan. Dengan cara ini, kita akan lebih dihormati oleh lawan. Pada waktu inilah masa untuk melihat kebijakan dan kematangan seseorang dalam menyelesaikan sesuatu konflik dengan pihak lawan mahupun sesama mereka sendiri.
Reactions: