بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kepada Allah, sekali lagi diberi kesempatan untuk menyampaikan ilmu untuk para pembaca dalam mencari keredhaan Allah. InsyaAllah  kali ini, saya akan cuba untuk diskusikan tentang pendapat Ibadah dalam Islam. Mungkin kita boleh sama-sama diskusikan dalam ruangan komen jika ada pendapat atau maklum balas mahupun teguran di ruangan komen.

Kita hanyalah hamba

Secara umumnya  kita perlu tahu tujuan kita dijadikan. Ramai yang mengaku Islam, namun sayangnya, mereka masih mencari tujuan hidup mereka. Oleh sebab itulah hari ini, ramai yang tergelincir dari landasan Islam dan ada yang sanggup mengambil pendekatan seperti bunuh diri setelah merasa gagal dalam hidup mereka. Dalam al-Quran, Allah telah menyatakan tujuan sebenar kita dijadikan dalam surah adz-Dzariyat:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
(surah adz-Dzariyat: 56)

Jelas sekali dalam ayat diatas, Allah menjadikan manusia adalah untuk beribadat. Namun, berapa ramai yang faham dan sedar akan tujuan ini. Kita hanyalah hamba kepada Tuhan yang Esa, Allah SWT. Dukacitanya, manusia hari lebih menjadikan diri mereka kepada hamba dunia. Mereka mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan tujuan hidup kita yang sebenar ini.

Dalam tafsir Ibn Katsir juga menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah kepada-Nya dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka (manusia). Setiap ibadah yang diwajibkan sebenarnya impaknya kepada diri kita sendiri. Allah berfirman:

مَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ 

وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
“Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.” (surah Al-Israa : 15)

Setiap apa yang diperintahkan merupakan satu ganjaran kepada kita kerana hadiah dari perintah itu amat bernilai jika dibandingkan dengan dunia ini. Namun jika mengabaikan perintah tersebut, kitalah makhluk yang paling rugi. Efek itu berbalik kepada kita. Sebagai contoh, ibadah solat. Sesiapa yang solat, ganjaran besar baginya. Ditambahkan pula bonus dengan mendapat ketenangan hati, dibersihkan hati dan sebagainya. Namun, bagi mereka yang tidak solat, Allah tetap Maha Agung, tidak sedikit pun Allah menerima efeknya. Akan tetapi bagi mereka yang tidak solat, balasannya ketika dalam kubur amatlah pedih. Ditambahkan pula kesulitan ketika didunia. Namun apakah maksud ibadah itu?

Definisi ibadah

Secara umumnya, ramai umat Islam hari ini menganggap bahawa ibadah hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Tidak ramai juga yang salah faham bahawa ibadah hanya tertumpu dimasjid. Semua itu merupakan satu salah faham bagi maksud ibadah.

Ibadah boleh didefinisikan sebagai perbuatan yang baik dan mengikut syara’ yang dilakukan niatnya kerana Allah dan membawa kebaikan. Menurut Imam Ibn Tammiyah pula, ibadah merupakan segala amal perbuatan untuk mendapatkan redha Allah sama ada secara zahir mahupun batin (hati atau fikiran).

Pembahagian ibadah

Ibadah terbahagi kepada dua (secara asasnya):
  • Hafasah( khusus) : ibadah yang wajib seperti solat, puasa, zakat.
  •  Amal umum:   ibadah yang dilakukan unuk membawa kebaikan yang diniatkan kerana Allah seperti menuntut ilmu, menjaga kebersihan, mencari nafkah untuk keluarga.

Syarat dalam mencapai status ibadah

Namun, setiap amal itu mempunyai beberapa syarat barulah dinamakan ibadah
  •  Menepati syarak: perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
  • Niat yang soleh: berniat baik dan niat itu mestilah ikhlas bersandarkan kepada Allah SWT Ta’ala.
  • Itqan dan ihsan: Itqab bermaksud tekun atau bersungguh-sungguh serta Ihsan pula memastikan ibadah tersebut berkualtiti dan ikhlas.
  • Tidak meninggalkan yang wajib: perbuatan yang dilakukan mesti seiring dengan yang wajib (tidak boleh meninggalkan perkara yang wajib semata-mata melakukan sesuatu walaupun untuk kebaikan.


Salah faham dalam ibadat

Seperti yang saya nyatakan diatas, ramai orang hari ini menganggap bahawa ibadah hanya tertumpu pada yang wajib dan terletak di masjid semata-mata. Itulah yang menyebabkan ramai orang Islam hari ini mengabaikan ibadah ini.

Selain itu, ramai juga yang menganggap bahawa ibadah ini merupaka pebuatan yang berat untuk dilakukan. Ibadah tidaklah menyebabkan seseorang tereksa. Ibadah dalam Islam merupakan perbuatan yang fleksibel untuk mendapatkan pahala Allah SWT Ta’ala.

Tidur juga merupakan ibadah. Tapi, niatnya haruslah kerana Allah dan jadikan tidur itu sebagai waktu rehat untuk menjalankan aktiviti hari seterusnya. Adakah ianya berat untuk dilakukan? Tidak bukan. Banyak lagi contoh ibadat lain yang merupakan simple bagi kita untuk mendapatkan pahala. Antaranya, berpakaian sopan, menuturka kata-kata yang baik, dan sebagainya.
Reactions: