Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih memberi kita peluang dan ruang untuk menggunakan segala pinjaman-Nya. Umat Islam hari ini dicabar hebat dalam pelbagai aspek kehidupan yang telah menjadian umat hari ini semakin lemah dan lemah. Apa yang berlaku di negara-negara yang ditindas menunjukkan bahawa perlunya untuk kita kembali bangkit melawan cabaran ini. Bukan sahaja di negara seperti Palestin, Syria, Mesir, Rohingya, bahkan umat Islam di Malaysia juga turut sama dicabar. Namun cabaran itu dari aspek lain yang mungkin saya boleh katakan lebih besar cabarannya iaitu cabaran akidah.

Setelah menonton video kontroversi Benz Ali yang menerangkan mengenai teologi kiri- landasan membela kaum mustad’afin, saya merasakan ada sesuatu perkara yang amat besar impaknya kepada umat Islam hari ini. Apa yang menariknya, saudara Benz Ali banyak mempersoalkan mengenai tugas agama yang didakwa beliau telah mati. Entri ini bukanlah untuk mengatakan bahawa beliau sesat atau apa, tetapi mugkin ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan dengan lebih terang kerana terdapat perkara yang disebut oleh beliau menimbulkan satu bentuk perbezaan pendapat yang jelas diajar oleh  Islam dan mungkin boleh mengelirukan umat Islam.

Saya hanyalah ingin mengajak pembaca untuk membuka minda kita dengan lebih terang supaya apa yang difahamkan kita mengenai Islam itu lebih jelas. Dan perlunya kita umat Islam hari ini untuk memperkukuhkan akidah kita disaat keruntuhan moraliti yang terlalu hebat dalam kalangan muda hari ini.

Dalam penerangan oleh saudara Benz Ali itu, beliau ada mengatakan bahawa “agama akan bankrap, agama akan muflis apabila agama sudah tidak mampu memberikan apa – apa nilai guna, memberikan apakah faedah – faedah kepada penganutnya, selain membius penganutnya dengan dosa, dengan pahala, ancaman dari neraka dan balasan dari syurga, seperti agama tidak berguna untuk kehidupan di bumi.”

Beliau juga ada mempertikaikan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mengatakan bahawa ASWJ adalah satu teologi usang yang tidak mendorong kerja kreatif, tapi selalu menunggu kehadiaran tuhan dalam setiap kali manusia menghadapi persoalan. Beliau juga ada menyatakan bahawa masing-masing agama adalah sama kerana masing-masing menyatakan bahawa mereka adalah kebenaran. Dan beliau juga mengatakan bahawa hanya Allah yang pegang kepada kebenaran itu, jadi beliau mempersoalkan adakah ASWJ itu kebenaran dan bagaimana untuk membuktikannya.

Apa yang boleh menarik lagi yang dikupas beliau, adalah beliau mengatakan bahawa tugas agama adalah untuk membebaskan golongan tertindas, jika golongan ini tidak terbela, apa lagi guna agama?
Baik, sebenarnnya banyak lagi perkara yang dikupas oleh beliau dan kenyataan beliau yang saya fikir bahawa mungkin beliau masih lagi keliru dengan agama terutamanya Islam.

Bagi saya, ini membuktikan bahawa akidah umat Islam hari ini diancam dengan ideologi yang bersifat keduniaan semata-mata. Oleh sebab itu, betapa perlunya kita memperkemaskan akidah kita disaat keruntuhan moraliti yang begitu besar dalam kalangan pemuda pemudi hari ini.

Islam itu indah, mudah, dan lengkap. Permasalahan yang dibawa oleh Benz Ali bukanlah menunjukkan bahawa agama itu sudah mati atau muflis seperti didakwa oleh beliau, tetapi, manusia yang yang bermasalah untuk tidak menggunakan guideline atau suruhan Allah dalam menyelesaikan masalah tersebut. Namun, tugas agama bukanlah sekadar membebaskan golongan tertindas semata-mata. Islam merangkumi dunia dan akhirat yang mana, teori dan praktikal itu perlu. Kerana itulah dalam Islam, Allah mementingkan semua perkara dari segi ekonomi, politik, cara hidup dan sebagainya.

Bukan bermakna jika masalah manusia tidak selesai, maka tidak perlu kita mengikut agama. Salah sama sekali jika mengatakan bahawa agama itu musflis atau bankrap apabila tidak dapat menyelesaikan permasalahan penindasan ataupun keruntuhan moraliti atau akhlak.


Pentingnya wasathiyah (kesederhanaan atau pertengahan)

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “wasathiyah dalam Islam” ada mengulas tentang mengapa terjadinya kejatuhan umat. Antara prkara yang menyebabkan jatuhnya Islam adalah kerana mereka memiliki dua perkara:

·         Al-Ghuluw
·         Al-Inhilal

Al-ghuluw bermaksud melebihkan atau menyusahkan perkara ibadat sehingga membawa kepada kesulitan. Islam adalah agama yang fleksibel dan mudah. Islam bukanlah mementingkan ibadat semata-mata. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:

“janganlah sekali-kali kamu memayahkan agama, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah binasa kerana memayah-mayahkan urusan dalam agama mereka.”

Satu perkara lagi yang membawa kesan adalah al-Inhilal yang membawa maksud kebebasan yang melampaui batas sehingga tidak terikat dengan arahan agama, larangannya, dan mengabaikan segala perintah dan larangan yang ditetapkan oleh Allah.

Oleh sebab itu, betapa pentingnya kesederhaan. Islam tidak melarang untuk manusia mencari harta dunia selagi mereka tidak melanggar syariat yang ditetapkan, dan selagi tidak melupakan akhirat.
Disini saya bukanlah membawa pembaca untuk membidas apa yang dikatakan oleh Benz Ali, namun saya ingin mengajak saudara-saudari untuk menilai dan bermuhasabah semula tentang diri kita. Adakah akidah kita telah kukuh dan kemas? Jika belum, kita sama-sama kemaskan dengan nasihat dan ilmu agama yang betul.

Berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunnah

Persoalan tentang siapa yang paling benar antara agama yang turut dibincangkan oleh saudara Benz Ali mengingatkan saya tentang satu hadis ketika khutbah terakhir yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
“aku tinggalkan kamu dua perkara, selagi mana kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat iaitu kitab Allah dan Sunnah-Sunnahku

Tentang siapa yang benar, inilah yang benar. Golongan yang mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  Memang benar Allah adalah pemegang hak kebenaran yang tepat, namun Rasulullah telah pun memberi guideline tersebut, jadi siapa yang betul-betul berpegang dengan kedua-duanya, mereka tidak akan sesat.

Apa yang perlu kita faham adalah, agama itu datang bukan menyelesaikan masalah umat dengan sekelip mata. Kerana itulah perlunya kita untuk mengikut apa yang diarahkan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Rad:

....إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“aku tidak akan mengubah nasib suatu kaum, melainkan mereka sendiri mengubah apa yang ada pada mereka.” (surah al-Rad :11)

Kesimpulannya, masih banyak lagi yang harus kita lakukan untuk diri kita dan umat Islam. Banyak lagi perlu diperkukuhkan dalam hati, minda, lisan, dan anggota kita. Sama-samalah kita mendoakan Allah menguatkan iman kita disaat dunia berada dipenghujungnya, dan supaya golongan yang tertindas itu menerima hak-hak mereka. Sama-samalah kita hayati khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah yang penuh nasihat untuk kita umat akhir zaman.


Reactions: