Ahmad Ammar, satu nama indah yang bermaksud memakmurkan. Satu nama yang tidak dikenali oleh dunia disaat beliau ada didunia ini. Namun, setelah pemergian mengadap Penciptanya, nama ini telah menjadi sebutan dan telah membuka minda-minda usang untuk bangkit.

Aku juga tidak pernah kenal siapa itu Ahmad Ammar. Sehinggalah coretan tentang peribadi beliau yang dilukiskan dalam buku Cerita Cinta Ahmad Ammar itu kubaca. Sungguh, nama ini telah pun membuka hati aku. Aku kagum. Seorang anak muda yang telah mewakafkan dirinya kepada ummat. Cukup mengagumkan apabila membaca kisah peribadi beliau yang dikumpulkan oleh keluarga dan sahabat-sahabat yang menjadikan pemergian beliau itu satu pemergian yang tidak sia-sia.

Jika Sultan Muhammed al-Fateh berjaya membuka Kota Konstantinople pada usia 21 tahun, maka Ahmad Ammar telahpun berjaya membuka hati-hati anak muda yang kosong untuk kembali berjuang. Beliau tidak membuka hati-hati ini dengan ceramah atau kuliah yang membersihkan minda-minda kami, tapi cukup dengan keperibadian beliau yang menjadi motivasi untuk kami.

Sungguh, ceritanya telah mengajar kami banyak erti kehidupan sebenar. Namun, apa yang lebih mengagumkan, tarbiah yang mengalir dalam diri Ahmad Ammar ini cukup mantap. Ayahandanya telahpun berjaya membentuk seorang insan yang cukup hebat. Bukan sahaja, Ahmad Ammar, tapi Tuan Hj Ahmad Azam Berjaya menjadi nakhoda yang baik untuk ahli keluarganya sehingga mereka semua merupakan penggerak dakwah untuk umat.

Tarbiah menyiapkan kejayaan

Aku teringat kisah yang terukir disebalik kisah kejayaan pembukaan Kota Konstantinople. Setelah 800 tahun, Rasulullah bersabda bahawa akan ada seorang putera yang membuka kota tersebut, itulah sebaik-baik putera, dan tentera itulah sebaik-baik tentera. (riwayat Ahmad)

Berpegang pada hadis tersebut, Sultan Murad II mempersiapkan anakandanya Sultan Muhammad al-Fateh dengan secukupnya untuk menjadi sebaik-baik putera. Betapa kuatnya tarbiah yang diberikan kepada putera itu sehingga kejayaan tersebut terhasil. Disaat itulah kerajaan Uthmaniyyah mencapai kegemilangan.
Aku melihat kisah ini hampir sama dengan kisah perjuangan Ahmad Ammar yang dipersiapkan oleh ayahandanya Ahmad Azam. Dipersiapkan bukan untuk kesenangan dunia, tapi untuk ummat.

Kedua-dua kisah ini mempunyai signifikan yang tersendiri. Bumi al-Fateh itulah yang menjadi saksi kehebatan kedua-dua perjuangan ini. Ahmad Ammar ini sungguh istimewa sehingga dipilih oleh Allah menjadi jiran kepada sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansari. Inilah insan pertama yang dimakamkan di pemakaman Eyyub Sultan yang menempatkan makam sahabat-sahabat dan pejuang-pejuang kerajaan Uthmaniyyah..
Ahmad Ammar begitu istimewa. Inilah motivasi yang paling terkesan bagi aku untuk lebih gigih dalam menuntut ilmu Allah dan merungkai sejarah tamadun Islam yang cukup hebat.


Reactions: