Oleh: Mohd Syarizwan

Sejarah merupakan satu elemen penting dalam kehidupan. Sejarah sendiri mempunyai pelbagai definisi yang diketengahkan oleh ahli sejarah terdahulu. Menurut Donald V. Gawronski, beliau mendefinisikan sejarah sebagai satu catatan atau rekod masa lalu atau sebahagian dari masa lalu (lihat Gawronski, Donald V, History: Meaning and Method, Foreman and Company, Scott, 1969). Kalau dilihat kepada definisi tersebut, ianya melibatkan tempoh masa yang telah berlalu dalam kehidupan manusia. Namun walaupun ianya telahpun berlalu, ia amat penting untuk suatu tamadun manusia.

Dalam Islam sendiri sejarah amat memainkan peranan dalam membentuk peribadi manusia. Oleh kerana itu, al-Quran yang diturunkan bukan sahaja untuk memberitahu mengenai hukum-hukum, tetapi didalamnya terkandung sejarah tamadun tamadun terdahulu sebagai pengajaran untuk kita semua. Sebagai contoh, bagaimana Allah merakamkan dalam al-Quran kisah umat yang diturunkan azab terhadap mereka seperti kaum Lut, A’d dan Thamut. Ahli sejarah dalam kalangan muslim juga cuba untuk menerapkan kepentingan sejarah melalui karya mereka seperti al-Muqadimmah karya Ibnu Khaldun dan Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (sejarah para Rasul dan Raja-raja) karya Al-Tabari.

Pemahaman sejarah itu penting kepada semua generasi terutamanya umat Islam sendiri. Sarjana sejarah Islam seperti Ibnu Khaldun sering mengetengahkan bahawa intelektual dan spritual umat terdahulu telahpun berjaya membentuk kegemilangan tamadun Islam. Namun, dalam pada itu, kita juga jatuh kerana kekurangan elemen tersebut. Salah satu faktornya adalah kerana kita melupakan sejarah.

Mari kita ingat kembali ucapan yang diungkapkan Tun Dr Mahathir sebelum beliau menyatakan perletakan semua jawatannya dalam parti (Perhimpunan Agong Umno 2001). Beliau menyatakan bahawa melayu mudah lupa. Berulang-ulang kali beliau mengungkapnya. Apakah signifikasi ungkapan tersebut? Dalam satu buku bertajuk “Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir”, beliau ada menjelaskan mengapa beliau berkata sedemikian. Ini kerana beliau melihat bahawa anak muda kita semakin lupa akan asal-usul dan sejarah mereka sendiri. Ini yang mengecewakan beliau. Justeru, kita tidak patut melupakan sejarah kerana menurut George Santayana, sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginnya berkali-kali. Sejarah itulah panduan terbaik kita.

Sebagai contoh, saya ingin mengajak para pembaca kembali merenung tentang sejarah kewujudan sekularisma dalam dunia ini. Ramai menyangka bahawa Mustafa Kamal Atartuk merupakan orang pertama yang mengasaskan pemikiran yang disebut sekularisma itu. Namun, sebelum pada itu, Perancis merupakan negara sekular pertama yang mengisytiharkan agama dipisahkan dari pentadbiran politik negara pada tahun 1789. Hal ini kerana pada ketika itu orang melihat bahawa peranan agama dan golongan gereja ini terlalu mengongkong kehidupan rakyat. Selain itu, peranan gereja juga seolah-olah dilihat tidak masuk akal dengan penjualan sijil pengampunan dengan harga yang mahal. Begitu juga konkongan gereja terhadap penemuan sains sehingga beberapa saintis ketika itu dihukum. Itulah yang berlaku pada zaman gelap akibat daripada kesilapan memahami dan pemesongan dalam kalangan ahli agama.

Berbalik pada apa yang berlaku di negara kita hari ini, saya melihat ada segelintir antara kita yang tidak memahami sepenuhnya konsep dalam Islam itu sendiri. Ini boleh mengakibatkan satu fitnah besar terhadap agama yang boleh mengakibatkan sejarah dahulu berulang. Ramai yang memperlihatkan kejahilan mereka tentang agama secara terang-terangan sehingga umat Islam dan bukan Islam melihat bahawa Islam ini agama yang terlalu mengongkong dan tidak masuk akal. Perkara sebeginilah yang memalukan agama dan diri kita sendiri sedangkan Islam itu mudah dan indah. Secara jujurnya, saya merasakan kita berada dalam keadaan yang agak bahaya dan kritikal dengan pencemaran imej Islam oleh pihak-pihak yang tertentu.


Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pengajaran dari apa yang berlaku pada sejarah lampau. Kita perlu mengkaji dan mejejaki semula jejak tamadun terdahulu dari segi kebangkitan, kegemilangan dan juga kejatuhan. Jika yahudi boleh mengkaji tentang sejarah Islam, mengapa tidak kita sendiri yang mengkaji sejarah kita untuk bangkit. Semuanya mempunyai signifikasi dan pengajaran tersendiri untuk masa hadapan. Sepertimana yang ditulis oleh Donald W. Whisenhunt dalam The Importances of History (Kepentingan Sejarah), beliau menegaskan bahawa sejarah penting untuk merancang masa hadapan kerana setiap keputusan seseorang atau sesebuah negara adalah berdasarkan masa lalu (lihat Whisenhunt, Donald W, A Student’s Introduction to History 2nd Edition, American Press, Boston, 1993). Jadikanlah sejarah itu guru kita seperti lirik lagu doa buat kekasih, nyanyian Ramli Sarip, “sejarah, mengajar kita, menjadi lebih dewasa..”
Reactions: