Perpaduan merupakan asas penting dalam memperkasakan kekuatan umat. Perpaduan juga menjadi pengukur dalam menentukan kemajuan dan pembangunan sesuatu negara. Ini dibuktikan melalui sejarah-sejarah kebangkitan umat terdahulu. Tanpa perpaduan, manusia sukar untuk mencapai sasaran dalam menegakkan sesuatu. Perkara seperti ini perlu diambil secara serius kerana kita tidak mahu perbalahan dan perpecahan berlaku dalam negara kita yang boleh mengganggu gugat keamanan negara yang dikecapi selama ini.

Kita perlu mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku pada peristiwa-peristiwa seperti yang terjadi pada 13 Mei 1969. Kita perlu berusaha sedaya upaya dalam menjaga kestabilan dan keamanan negara kita. Sejarah dahulu merupakan guru terbaik kepada manusia dalam merancang masa hadapan. Perpecahan dan permusuhan bukan sahaja timbul antara kaum, negara atau agama, bahkan sesama sendiri juga berlaku jika tiada usaha dalam menjaga nilai-nilai kehormatan sesama sendiri.

Lihat sahaja dalam sejarah Islam sendiri, perpecahan sesama sendiri mengakibatkan kesan yang sangat buruk terhadap masa hadapan. Ini boleh dilihat dalam kisah perang saudara dalam Islam iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin yang mengakibatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan timbulnya puak seperti al-Khawarij dan Syiah.

Perkara-perkara sebegini diambil mudah oleh sebahagian masyarakat kita. Sejak kebelakangan ini, banyak laporan yang melibatkan aktiviti dan salah laku oleh pengguna media sosial yang mencetuskan atau menyentuh sensitiviti dan sentimen perkauman, agama, dan politik. Ini tidak seharusnya timbul kerana ia boleh mengakibatkan konflik antara masyarakat terutamanya dalam negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, kita harus belajar daripada sejarah dan menunjukkan kematangan diri dalam berinteraksi. Kita perlu membetulkan beberapa perkara dalam berinteraksi bagi mengelakkan konflik berlaku, justeru kestabilan dan keharmonian negara terjamin dalam merangka generasi yang maju dan berdaya saing.

Pertama, kita perlu mengelakkan diri kita dari dirantai oleh sifat Ego-centrism dan socio-centrism. Ego-sentrism dan socio-centrism merupakan sifat yang boleh ditakrifkan sebagai melihat segala-galanya berkaitan diri sendiri atau pihaknya sahaja tanpa melihat kepada perspektif lain. Ego-sentrik selalunya merujuk kepada seseorang  yang menganggap bahawa ideanya atau dirinya lebih baik daripada orang lain. Mereka selalunya hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempertimbangkan idea atau hujah dari pihak lain. Ini salah satu perkara yang menghalang pemikiran kritis individu. Sebagai seorang rakyat yang bertamadun, kita tidak boleh melihat sesuatu perkara hanya berdasarkan perspektif kita sahaja walaupun ada kekurangan dalam hujah atau perspektif pihak lain. Ego-sentrisme ini boleh menjadikan kita beremosi dalam berhujah atau melakukan sesuatu untuk mempertahankan idea kita yang dirasakan yang terbaik tanpa mempertimbangkan yang lain.

Kedua, sebagai seorang yang matang, kita harus berani untuk mengaku kesalahan dan meminta maaf. Mengaku kesalahan sendiri dan meminta maaf secara ikhlas akan membuatkan pihak lawan atau orang sekeliling lebih hormat kepada kita. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari dari melakukan kesilapan. Justeru, dengan meminta maaf dan mengaku kesilapan yang dibuat itu menjadikan seseorang itu sedar akan kesilapannya sendiri dan menjadi iktibar kepada orang lain. Perkara ini telah diketengahkan oleh Dr. Muhammad ‘Abd Al-Rahman Al-Arifi dalam bukunya “Enjoy Your Life” yang memaparkan cara dalam berinteraksi dengan orang lain yang diambil dari kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Dalam bukunya juga ada disebut bahawa mengakui kesilapan sendiri merupakan satu cara yang baik untuk meredakan keadaan dan meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan membuatkan kita lebih lega dan jauh daripada rasa bersalah.

Ketiga, kita harus menunjukkan hormat dan kata-kata yang baik dalam menegur termasuklah menulis status atau komen di laman sosial. Ramai antara kita hari ini berpendapat bahawa kita boleh menulis apa sahaja di laman sosial milik kita seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain lagi. Ada juga sesetengah rakyat Malaysia memberi kata-kata kesat dalam ruangan komen atas alasan ingin menegur seseorang. Perkara sebeginilah yang mencetuskan pergaduhan dalam laman sosial. Mengeluarkan kata-kata yang baik juga merupakan salah satu perintah Allah di dalam al-Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud

 “Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) kebaikan” (surah al-Furqan: 63). 
Begitu juga kisah Nabi Musa A.S yang diperintah oleh Allah untuk berdepan dengan Firaun dan mengeluarkan kata-kata yang lemah lembut (Surah Taha: 43-44)

Keempat, sebagai seorang manusia yang lemah kita tidak dapat lari dari beremosi. Itu merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan kita. Ianya tidak perlu disingkirkan tetapi perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah dalam kita berfikir. Kita perlu elakkan dari emosi melebihi kewarasan akal. Emosi yang tidak terkawal boleh membuatkan kita tersungkur apabila ia tidak dipandu dengan betul oleh akal. Ini merupakan perkara yang sering berlaku dalam masyarakat kita terutamanya dalam berbicara mengenai politik. Tidak dinafikan golongan yang digelar ustaz, murabbi dan ulama juga tidak terkecuali dalam perkara sebegini. Kegagalan dalam menguruskan emosi itu boleh mengakibatkan seseorang itu cenderung untuk membenci orang lain. Inilah peranan syaitan dalam memecahbelahkan kita. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam politik Malaysia, kawan boleh menjadi lawan, benci berterusan. Sampai bila ini harus berlaku sedangkan yang kerugian kita sendiri.

Kesimpulannya, kita sendiri perlu memulakan langkah untuk menyatu padukan seluruh manusia tanpa mengira latar belakang politik, pangkat dan darjat. Iktibar perlu diambil dalam kisah perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar sehingga mereka sanggup berkorban harta untuk saudara mereka. Kita perlu berani menyingkirkan elemen kotor dari diri kita. Bravery is not to persist you errors, but to acknowledge that you are wrong, and not to repeat the error again.





Reactions: