Pembocoran soalan peperiksaan awam yang dilaporkan baru-baru ini merupakan satu pengajaran kepada semua pihak. Perkara sebegini berlaku apabila ada pihak tidak menunaikan amanah dengan sebaiknya. Peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris yang dijadualkan semula memberi kesan yan besar kepada semua pihak terutamanya pelajar tahun 6 yang akan mendudukinya. Ini akan menambah tekanan yang dihadapi oleh mereka. Sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar tahun 6 merancang untuk mengadakan lawatan setelah tamat UPSR. Namun, disebabkan perkara sebegini, semuanya terpaksa dibatalkan.

Ramai pihak menuding jari kepada guru-guru apabila kes ini berlaku. Namun, tidak sewajarnya kesalahan itu diletakkan diatas bahu guru semata-mata. Guru merupakan orang penting dalam memberikan ilmu kepada pelajarnya. Hanya kerana segelintir yang tidak amanah, semua guru dipersalahkan. Ia hanya seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ada sesetengah pihak memperlekehkan para guru dengan gelaran penipu. Saya merasakan ia adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar kerana peranan dan jasa guru amat besar dalam membangunkan sesebuah negara. Hal ini telah pun mengakibatkan hati warga pendidik terguris dek kerana pelbagai tohmahan yang diberikan kepada mereka.

Masyarakat seharusnya faham situasi yang dihadapi guru hari ini. Cabaran sebagai guru hari ini amat hebat dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Amatlah tidak wajar apabila berlaku sesuatu perkara, mereka dipersalahkan sehingga dihina dan digelar dengan panggilan yang kurang sopan. Tambahan pula guru-guru juga turut tertekan dalam menaikkan dan mengekalkan nama sekolah untuk ranking terbaik. Kes ini sebenarnya memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

Tingkatkan kredibiliti bakal guru 

Guru merupakan role model atau contoh kepada para pelajar dan masyarakat. Justeru pihak kementerian perlu menjadikan profesion perguruan sebagai satu medium dalam mendidik masyarakat melalui contoh ikutan yang  baik. Justeru, bakal guru yang berada di universiti dan juga institut perguruan perlu diterapkan dengan asas disiplin yang baik. Profesion perguruan bukanlah satu bidang yang senang dan sesuai untuk semua orang. Ramai antara guru muda yang tidak menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar seperti merokok, mencarut dan sebagainya. Hal sebeginilah yang menyebabkan guru-guru lain turut terkesan akibat perbuatan segelintir daripada mereka.

Disiplin yang ingin diterapkan dalam kalangan pelajar perlu ditunjukkan oleh guru. Pelajar akan lebih menghormati guru yang mempunyai karisma dan penampilan tersendiri. Guru perlu lebih mendidik daripada mengajar. Menurut seorang pensyarah Universiti Malaysia Sabah, proses mendidik dan mengajar merupakan dua perkara berbeza. Mendidik melibatkan proses ‘transfer’(memindahkan ilmu dan kemahiran kepada pelajar) dan proses ‘transform’ (mengubah tingkah laku pelajar kearah lebih baik). Proses mendidik ini bukanlah satu kerja yang mudah bagi sesetengah insan. Oleh itu, cabaran sebagai guru harus difahami oleh masyarakat dan tidak terlalu cepat menyalahkan mereka dalam sesuatu perkara.

Prihatin terhadap ilmu bukan A

Ibu bapa juga berperanan dalam proses mendidik anak-anak mereka secara lebih serius. Hari ini kebanyakan ibu bapa sibuk dengan karier masing-masing sehingga mengabaikan peranan mereka. Ibu bapa lebih suka salahkan guru-guru jika sesuatu berlaku pada anak mereka. Ibu bapa yang prihatin sepatutnya lebih tumpukan anak-anak mereka kepada penerimaan ilmu dan pendidikan akhlak daripada tumpukan mereka kepada A semata-mata. Tidak dinafikan keputusan akademik seperti A dalam peperiksaan juga penting, namun haruslah diseimbangkan dengan akhlak yang sepatutnya.

Kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan cerita ibu bapa menyaman guru-guru yang ingin mendidik anak mereka. Pada pendapat saya, ini salah satu perkara yang menyebabkan pelajar hari ini terlalu manja dan sukar dididik. Lebih malang lagi jika ibu bapa hanya pentingkan keputusan cemerlang peperiksaan semata-mata tanpa menumpukan anak mereka kepada akhlak dan ilmu akhirat. Justeru, pemikiran masyarakat kita seharusnya ditukar daripada pemikiran berorientasikan penilaian ranking dan keputusan peperiksaan kepada pemikiran pendidikan ilmu.


Perkara sebegini perlu diambil serius dan tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak. Hal ini kerana pelajar-pelajar hari ini merupakan bakal mewarisi kepimpinan negara dan mereka perlu dididik sebaiknya. Kes kebocoran soalan UPSR yang berlaku ini telah membuka mata semua pihak untuk memperbaiki kesilapan masing-masing.  Saling menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan apabila ada pihak yang terguris. Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan perkara sama tidak berulang dan menjadikannya satu pengajaran untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Wallahu’alam...
Reactions: