Berita Harian 23/2/15 - Mohd Syarizwan Mat Jenon
Artikel Penuh:


Langkah Tangani Ancaman Kumpulan IS

Pelbagai langkah perlu dalam menangani ancaman keselamatan global kerana  ia menjadi topik hangat di media termasuk sosial media. Isu yang dibincangkan banyak mengisarkan berkenaan dengan kumpulan militan IS yang dilihat semakin mengganas dengan beberapa ugutan dan pembunuhan tebusan secara kejam yang dipercayai dilakukan oleh mereka.

Ini mengundang persepsi negatif dan ketakutan terhadap isu keselamatan. Malaysia juga tidak terkecuali dalam ancaman tersebut. Ini berikutan daripada beberapa penahanan yang dibuat oleh Unit Anti-Pengganas PDRM terhadap beberapa individu rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut. Ada antara mereka menjadi ‘suicide bombers’ atau pengebom berani mati bagi kumpulan terebut dalam melancarkan serangan.

Meracuni pemikiran anak muda sertai IS
Laporan media juga menyebut bahawa dari Oktober hingga Disember tahun lalu, lebih 50 orang rakyat Malaysia terbabit dengan kumpulan tersebut. Ini membuktikan bahawa fahaman mereka telahpun memasuki negara kita dan cuba meracuni rakyat Malaysia terutamanya anak muda termasuk golongan bawah umur antara 14-18 tahun untuk menyertai mereka atas nama jihad.

Ini menimbulkan kebimbangan terhadap isu keselamatan negara kita. Kumpulan Pengganas IS ini dlihat lebih bahaya daripada kumpulan-kumpulan pelampau agama yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini. Ini dibuktikan apabila mereka semakin mengganas dengan beberapa ugutan dan pembunuhan tebusan secara kejam yang dilakukan oleh mereka. Justeru, kita perlu memandang serius perkara sebegini kerana ia boleh mengganggu gugat keamanan negara melalui ideologi-ideologi melampau walaupun atas nama agama, tetapi hakikatnya ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyenarai hitamkan kumpulan tersebut. Ini bertujuan untuk membendung penglibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan ekstremis IS. Walaupun ianya dilakukan atas nama jihad, umat Islam harus berhati-hati dengan perkara tersebut kerana ianya perlu difahami secara menyeluruh.

Beberapa penganalisis politik berpendapat bahawa tindakan mereka yang menyertai kumpulan terbabit adalah kerana dimanipulasi pihak tertentu. Ini kerana salah satu faktor yang menyumbang kepada mereka untuk menyertai IS adalah sifat simpati mereka terhadap saudara Islam diseluruh dunia yang sering ditindas. Mereka merasakan bahawa tidak ada keadilan terhadap umat Islam didunia dan mereka ingin membantu dengan cara mereka sendiri, walaubagaimanapun, niat mereka ini dimanipulasi  oleh pihak yang menawarkan jihad kepada mereka.

Ada antara mereka yang mempercayai bahawa kumpulan IS ini bertujuan untuk mengembalikan sistem khalifah bagi negara-negara Islam yang menyebabkan mereka tertarik dan terlibat dalam kumpulan tersebut. Walaupun secara rasionalnya ianya adalah alasan yang baik, namun pendekatan dan aktiviti yang dilakukan oleh mereka jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam terutamanya menurut Ahli Sunnah wa Al-Jamaah.

Pelbagai perkara perlu dilakukan oleh semua pihak bagi membendung aktiviti dan ideologi seperti ini terus merebak dalam kalangan anak muda. Ianya termasuklah mengawal dan meningkatkan tahap keselamatan siber atau ‘cyber security’. Hal ini kerana salah satu cara kumpulan IS ini mengrekrut anak muda adalah melalui laman sosial terutamanya Facebook.

Boleh serang melalui talian
Tidak dinafikan bahawa mereka boleh menyerang melalui talian dengan menggodam laman web tertentu untuk mencari maklumat dan mengancam keselamatan negara. Terrorisma berprofil tinggi seperti ‘hickjacking plane’ boleh berlaku akibat keselamatan siber yang rendah. Oleh itu, aktiviti siber dalam kalangan anak muda perlu dipantau secara serius.

Selain itu, kesedaran tentang bahayanya aktiviti radikalisma perlu diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia melalui media, forum, dan juga khutbah Jumaat. Ini termasuklah dengan menerangkan apa yang berlaku di negara bergolak seperti Syria dan Iraq dengan lebih jelas dan tepat, selain meningkatkan kefahaman tentang manhaj wasatiyyah atau kesederhanaan dalam Islam secara tepat.

Seterusnya, kefahaman berkenaan jihad dengan lebih mendalam juga perlu dititikberatkan bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan ideologi-ideologi ekstremis yang sentiasa menular dan memperdayakan umat Islam terutamanya golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan. Baru-baru ini juga seorang remaja perempuan ditahan di KLIA kerana ingin menyertai kumpulan IS dan difahamkan beliau diperdaya oleh seorang lelaki yang dipercayai bakal suami remaja terbabit. Ini menunjukkan bahawa mereka juga memperdaya anak muda di Malaysia dalam cinta.

Tidak dinafikan bahawa walaupun media sering melaporkan tentang kegiatan kumpulan IS, ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak faham dan keliru berkenaan dengan kumpulan tersebut. Ada yang menyoalkan tentang kewujudan mereka. Hal ini kerana mereka tidak mempercayai apa yang dilaporkan media dan menganggap ini hanyalah sekadar rekaan. Sesetengah masyarakat dunia juga masih lagi mengaitkan kumpulan tersebut dengan agama Islam walhal ia jauh daripada ajaran Islam yang menitik bertakan keamanan dan kesejahteraan. Justeru, sebagai umat Islam, kita perlu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan sejahtera.
Reactions: