Kebelakangan ini ada saja isu yang timbul melibatkan masyarakat kita yang bertindak tanpa memikirkan kesan yang berlaku terhadap dirinya dan juga pihak sekeliling. Isu-isu ini timbul akibat perbuatan mereka yang dirakam dan kemudiannya menjadi viral dan disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, blog-blog, aplikasi Whatsapp, dan sebagainya.

Ada juga yang sengaja merakamkan untuk melawak tetapi akhirnya menjadi viral kerana apa yang dilakukannya pendapat perhatian ramai pihak akibat perbuatan mereka yang dianggap sebagai menghina, lawak, terhibur, dan sebagainya.

Baru-baru ini muncul satu video yang menjadi kontroversi apabila video yang berdurasi 1 minit 56 saat itu menyiarkan seorang perempuan yang bernama Aisyah bercakap mengenai hudud. Video itu menjadi viral kerana ia dianggap menghina dan mempertikaikan pelaksanaan hukum tersebut di Kelantan. Kemudian minggu ini muncul pula beberapa versi video yang menunjukkan pergaduhan beberapa remaja perempuan dengan seorang lelaki yang merupakan pemandu teksi. Ia dipercayai akibat satu pelanggaran antara kereta milik mereka. Namun apa yang dikesalkan adalah tindakan remaja-remaja perempuan terbabit yang mengamuk dan bertindak ganas serta mengelurakan kata-kata kesat.

Ia menarik perhatian rakyat Malaysia yang menyebarkan video tersebut dan mencemuh sikap remaja-remaja perempuan terbabit yang dianggap biadap. Rata-rata pengguna sosial media menyatakan kekesalan mereka akibat tindakan tersebut.

Ambil pengajaran
Jika sebelum ini, video tentang seorang perempuan yang bernama Kiki yang mengamuk menggunakan ‘sterring lock’ juga mendapat perhatian akibat tindakan ganasnya. Namun, ia telah menjadi satu pengajaran kepada semua dan beliau sendiri telahpun meminta maaf atas tindakan beliau.

Namun yang menjadi kekesalan saya, tidakkah rakyat Malaysia mengambil pengajaran dari peristiwa lepas? Tindakan sebegitu sepatutnya sudah tidak timbul. Kita sepatutnya mengambil pengajaran dari apa yang teah berlaku sebelum ini. Rakyat Malaysia sekarang ini memang sensitif terhadap perkara-perkara sebegini, jika timbul sahaja perkara begini, maka ia akan menjadi viral. Kita juga yang menanggung malu nanti.

Dimana adab kita?
Saya juga turut kesal apabila melihat isu-isu sebegini timbul. Seolah-olah adab kita sebagai melayu telah hilang kesopanan dan kesusilaan. Walaupun kita perlu faham keadaan merea yang mengalami tekanan atau sebagainya, namun tidak perlu lah mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun.

Bukan sahaja mereka yang terlibat, begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain. Apabila video-video tersebut menjadi viral, maka akan ramai yang memberi komen. Tidak kurang juga mereka yang sama-sama mengeluarkan kata-kata kesat dalam memberi komen dan menuduh dengan bermacam-macam gelaran.

Ke mana adab kita sebenarnya? Sebagai orang Islam, maka ia amatlah mendukacitakan kerana Islam itu agama yang indah dan aman. Kita yang sepatutnya menunjukkan keindahan Islam itu supaya dapat dikagumi oleh bangsa lain. Namun kini, bukan sahaja nama agama, nama keluarga, nama institusi pengajian juga turut tercemar akibat daripada perbuatan kita.

Hormat-menghormati dalam masyarakat
Sikap saling menghormati antara kita juga dilihat semakin hilang. Ada sahaja kontroversi yang menyentuh sensititviti pihak lain dan ia boleh menyinggung pihak tersebut. Kehidupan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama seperti di negara kita amat memerlukan masyarakat kita untuk saling menghormati antara satu sama lain. Jika tidak, ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah dan perbalahan yang akhirnya merugikan kita semua. Justeru, sama-samalah kita menjaga adab dab tatasusila kita dalam kehidupan seharian dan janganlah terlalu cepat menghukum sesiapa sebelum mendapat penjelasan dari semua pihak... 

wallahua'lam....



Reactions: