Jangan sangka kita ini terlalu mulia kerana dilahirkan sebagai dalam kaum yang kita rasakan ia mulia. Lahir sebagai melayu itu bukan pilihan kita. Begitu juga kelahiran sebagai Cina, India, atau apa sahaja keturunan yang ada. Itu semua merupakan pilihan Tuhan yang telah menjadikan kita semua sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran untuk berfikir yang baik dan juga yang buruk.
Soal perkauman ini sebenarnya satu isu yang sensitif untuk dibincangkan. Hal ini kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan jika tersilap bicara dalam menyentuh isu ini. Namun akhir-akhir ini ada sesetengah pihak cuba membangkitkan isu ini atas alasan tertentu. 

Sememangnya isu-isu yang berkait dengan sensitiviti perkauman dan agama ini perlu dielakkan. Ia boleh menganggu gugat keamanan dan toleransi masyarakat di seluruh dunia khasnya dalam situasi negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Saya merasakan pihak-pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman atas alasan tercabar ini mungkin tidak memahami sejarah secara mendalam.

Memang mencintai bangsa sendiri adalah satu sifat fitrah atau semula jadi dalam diri manusia. Mempetahankan ketuanan bangsa, tanah tumpah adalah satu kemestian yang perlu ada dalam diri. Namun kita perlu berhati-hati, jangan sampai ego kita ini memusnahkan apa yang telah dibina oleh generasi dahulu dalam mengekalkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

Saya tidak merasakan kaum Melayu perlu merasa tercabar dengan apa yang berlaku (merujuk kepada perhimpunan BERSIH 4). Negara kita ada undang-undang. Jika ada yang merasakan ia satu tindakan yang tidak betul, rujuk ia kepada undang-undang, bukan dengan cara meluahkan rasa tidak puas hati itu melalui slogan-slogan perkauman, atau kata-kata yang boleh dianggap penghinaan kepada phak lain.

Mari kita kembali kepada firman Allah yang menjadi rujukan kita dalam semua hal. Allah telahpun nyatakan dalam surah al-Hujurat, ayat 13:

"Wahai manusia, seseungguhnya kamu diciptakan daripada seorang lelaki, dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal. Sesugguhnya yang paing mulia disisi Allah adalah orang yang bertaqwa...." (Surah al-Hujurat, 49: 13)
Image result for perpaduan kaum di malaysia
Oleh sebab itu saya tegaskan pada awalnya, jangan kita rasa lebih mulia kerana kita melayu. Sikap toleransi dalam masyarakat di negara ini perlu dikembangkan supaya kita dapat hidup aman dan sejahtera bersama. Cukuplah ia menjadi catatan sejarah yang perlu kita ambil pengajaran. Tidak perlu diulang apa yang telah berlaku. Kelak ia boleh merugikan kita dan generasi akan datang.
Reactions: