Semalam merupakan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kampus di UIAM atau dipanggil SRC General Election. Suasana meriah dan hangat mempromosikan calon-calon bertanding telah berlalu sepanjang dua hari. Walaupun bagi saya suasananya tidak semeriah tahun lepas, tapi cukup menarik untuk menggambarkan suasana demokrasi dalam memilih pemimpin dalam kalangan mahasiswa tetap subur. Melihat suasana ini, saya melihat ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi tentang mahasiswa dan politik.

Pilihan raya merupakan satu alternatif dalam memilih pemimpin untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sistem demokrasi yang dijalankan ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa antara yang terbaik untuk dipilih berdasarkan peribadi dan manifesto yang disampaikan.

Di UIA ini, calon-calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan manifesto-manifesto yang sangat menarik. Apa yang menarik, cara mereka mempromosikan diri mereka bukan sahaja melalui medium yang biasa, tapi mereka sama-sama duduk sebaris dalam satu program debat manifesto dalam memberi penerangan dan hujah masing-masing. Saya kira ini merupakan satu bentuk kematangan dalam politik.

POLITIK DALAM ISLAM

Dalam Islam, politik ini diajar dalam setiap sudut. Bagaimana seorang pemimpin itu bergaul dengan yang dibawahnya.  Bagaimana rakyat perlu menegur seorang pemimpin yang leka. Bagaimana amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin itu akan ditanya. Semuanya diajar dalam Islam melalui sunnah Rasul dan Kalam Allah (Quran). Begitu juga ia diajar melalui hikmah disebalik pensyariatan ibadah kepada Allah.


Pensyariatan solat jemaah bukan sahaja memberikan hikmah gandaan kebikan sebanyak 27 kali ganda, bahkan ia juga mengajar kita prinsip-prinsip utama dalam politik.


Pertama, ia mengajar kita tentang principle of election, cara kita memilih pemimpin. Untuk solat jemaah, untuk menentukan imam, ada kriteria-kriteria yang perlu diutamakan. Sebagai contoh, seseorang untuk dijadikan imam harus mempunyai akhlak yang baik, bacaan yang baik, ilmu yang baik. Begitu juga dalam menentukan pemimpin, perlu juga dilihat kepada kriteria-kriteria yang baik berdasarkan kepakaran, ilmu, akhlak, kepimpinan dan sebagainnya.


Yang Kedua, dalam solat, makmum sama sekali tidak boleh mendahului imam dan wajib mengikut imam dalam setiap pergerakan. Ini yang dinamakan principle of obedience. Orang yang dibawah wajib mengikut arahan pemimpin selagi mana ia tidak melanggar syariat. Dalam kepimpinan, ketua adalah orang bertanggungjawab memberi arahan dalam melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab, dan haruslah ia ditepati oleh orang yang dibawahnya.


Dalam solat juga, apabila Imam terlupa atau tersilap, makmum wajib menegur kesalahan tersebut dengan menyebut subhanallah. Begitu juga prinsip ketiga yang diajar melalui solat jemaah ini, iaitu principle of advices. Setiap ketua atau pemimpin yang tersilap wajib ditegur dan dinasihati. Namun, cara nasihat dan teguran itu hendaklah sesuai dan tepat. Sepertimana dalam solat, makmum tidak boleh sesuka hati menegur imam kecuali dengan menyebut subhanallah. Bermakna, menegur pemimpin juga hendaklah dengan cara dan nasihat yang baik.


Seterusnya keempat, ia mengajar principle of cooperation and ukhuwah. Makmum dalam solat jemaah mesti berada dalam satu saf yang lurus dan rapat. Oleh sebab itulah kebiasaannya imam akan perintahkan untuk rapatkan dan luruskan saf sebelum mula solat. Dalam kepimpinan dan politik, prinsip kerjasama antara ahli dan ukhuwah antara sesama mereka ini sangat diperlukan dalam melaksanakan sesuatu tugas.


Ada beberapa lagi prinsip lain sebenarnya yang ditekankan oleh Islam diajar melalui solat jemaah ini. Namun, prinsip utama diatas merupakan basic atau asas yang sangat penting dalam menjamin gerak kerja yang berkesan. Justeru, dalam kita berpolitik ataupun berada dalam mana-mana organisasi, kita perlu meletakkan hikmah agama itu lebih tinggi. 


PERLU ATAU TIDAK MAHASISWA TERLIBAT DALAM POLITIK?


Persoalan ini sering diajukan kepada mahasiswa. Perlu atau tidak? Pendapat saya, perlu. Terlibat maksudnya bukanlah sama-sama berkempen untuk pilihan raya sesuatu parti atau bertindak dalam mana-mana demonstrasi. Tetapi terlibat yang saya maksudkan adalah mengambil tahu dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara kita. Ini Mahasiswa wajib ambil tahu.


Kenapa? Kerana mahasiswa yang ada inilah harapan negara dan bakal menjadi pemimpin rakyat. Justeru segala yang berlaku perlu diperjelaskan kepada mereka ini.


Platform Pilihan Raya Kampus (PRK) ini sangat sesuai bagi memberi gambaran dan pengalaman kepada mahasiswa untuk lebih matang dalam politik. Ini kerana mereka berpeluang melakukan yang terbaik dan membawa suara mahasiwa ke peringkat lebih tinggi dan mahasiwa sendiri yang memilih mereka secara demokratik dan legitimasi itu diberikan kepada mereka untuk memimpin mahasiswa.


Akhir kata, saya mengharapkan mereka yang dipilih ini mampu berkhidmat seikhlas dan sedaya mungkin. Ini bukanlah satu medium untuk mempromosikan nama atau menjadi glamor. Tetapi ini adalah platform untuk anda berkhidmat , mencurahkan bakti kepada mahasiswa dan menunjukkan yang terbaik bahawa kita mampu untuk memimpin negara dengan lebih baik.



Debat Manifesto calon-calon PRK UIAM bagi kuliyyah HS
Penerangan manifesto calon-calon bertanding


Kempen oleh calon yang bertanding
Reactions: